Bekas Penolong Eksekutif Felcra salah guna kuasa, rasuah ditahan - Utusan Malaysia

Bekas Penolong Eksekutif Felcra salah guna kuasa, rasuah ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang bekas Penolong Eksekutif Felcra Urus Estet Changkat Jong ditahan semalam selepas dipercayai terlibat dalam salah guna kuasa bagi mendapatkan pemilikan 13 lot tanah di bawah Projek Tanah Milik Felcra Berhad sejak 12 tahun lalu.

Penolong Pendaftar Azuratul Akmar Abdul Ghafar membenarkan lelaki berusia 56 tahun itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 7 April depan.

Terdahulu, lelaki yang berpakaian lokap SPRM jingga dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh kira-kira pukul 11.45 pagi sebelum keluar kira-kira sejam kemudian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat SPRM Perak di Meru di sini pada pukul 11.17 malam semalam selepas dipanggil untuk memberikan keterangan.

Menurut sumber, suspek dipercayai menggunakan jawatannya untuk mendapatkan pemilikan tanah berkenaan dengan cara menamakan kroni-kroninya kepada pihak Jawatankuasa Pemilihan Tanah Daerah (JKPTD) Hilir Perak.

Nama-nama tersebut kemudian dijadikan peserta di satu kawasan Rancangan Pertanian Berkelompok di bawah Projek Tanah Milik Felcra Berhad sebelum dipindah milik kepada diri sendiri dan saudaranya selepas tempoh lima tahun.

“Berikutan pemilikan lot tanah tersebut, suspek dan saudaranya telah menerima bayaran dividen daripada Felcra Berhad berjumlah lebih RM1 juta bermula tahun 2008 hingga sekarang.

“Suspek turut dikatakan giat meminta wang rasuah berjumlah RM40,000 bagi setiap ekar tanah daripada beberapa penduduk setempat atau kenalannya,” katanya.

Katanya, sebagai balasan, suspek menggunakan kedudukannya itu untuk memasukkan nama-nama mereka ke dalam JKPTD Hilir Perak untuk mendapatkan tanah Rancangan Tanah Berkelompok termasuk tanah berstatus rizab Melayu kepada bukan Melayu.

“Hasil penggeledahan di rumah suspek menemui harta yang disyaki dimiliki hasil kegiatan rasuah iaitu dua buah kenderaan jenis Toyota Harrier dan Toyota Hilux, dua set perabot sofa mewah dan 22 buah beg tangan berjenama mahal.

“Sembilan geran lot tanah atas nama suspek dan suadaranya serta sebuah banglo milik suspek turut dianggarkan kesemuanya bernilai RM600,000,” katanya.

Tambahnya, jumlah keseluruhan aset yang dimiliki oleh suspek dianggarkan melebihi RM1 juta berbanding kemampuan emolumen yang diraih olehnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kes tersebut.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 kerana menyalahgunakan kuasa dan rasuah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini