KUALA LUMPUR 18 April – Sebanyak tujuh mangsa penindasan bank dan syarikat pemberi kemudahan kredit hari ini tampil menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap pengurusan bank yang disifatkan sebagai kejam serta tidak berperikemanusiaan.
Salah seorang mangsa yang ingin dikenali sebagai Maria berkata, rumah yang dibeli suaminya yang kini sudah meninggal dunia dengan harga RM1.1 juta kini dilelong kepada bank dengan harga yang lebih rendah iaitu RM680,000.
“Suami saya mempunyai ketumbuhan otak dan semasa di akhir hayatnya, dalam keadaan sangat uzur, pihak bank memaksa saya membawa suami saya dengan memakai lampin pakai buang ke mahkamah untuk selesaikan perkara ini.
“Saya cuba berunding dengan bank tetapi tidak diendahkan. Kini suami saya sudah tiada, bank mengatakan bahawa rumah itu telah dilelong pada pihak bank dengan harga lebih rendah dari pasaran, seolah-olah mereka mahu mengambil untung daripada situ dan kini memaksa saya keluar daripada rumah.
“Alasan yang diberikan adalah mereka kata suami saya tidak menandatangani Insurans Bertempoh Mengurangkan Pinjaman (MRTA). Kini saya buntu dengan suami yang baru meninggal dunia, anak masih kecil dan bank pula bersifat kejam mahu merampas rumah kami. Bayangkanlah trauma yang saya hadapi,” katanya dalam sidang akhbar anjuran Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa, Syazril Amri berkata, tindakan syarikat pemberi kemudahan pembiayaan jual beli, Toyota Capital Sdn. Bhd. yang mengutip hutang dengan cara sangat agresif boleh di samakan dengan ‘along’ yang berlesen.
“Dia pergi ke pejabat isteri saya tunggu di bawah, telefon kerani pejabat untuk maklum mengenai hutang itu, malah mengejek perniagaan dalam talian isteri saya yang menjual pekasam.
“Tidak cukup dengan itu telefon berkali-kali sehingga mengganggu ketenteraman kami sekeluarga. Ada juga yang mereka kata mahu datang ke rumah untuk sita barang-barang, walhal kami sudah mengikuti arahan pembayaran daripada mereka. Siapa beri kuasa pada mereka?,” katanya. – UTUSAN ONLINE











