JOHOR BAHRU 30 April – Pengalaman, sumbangan dan personaliti seorang bekas pengetua yang pernah berkhidmat di tiga buah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di negeri ini menjadikan Ayob Jantan, 66, terpilih sebagai Tokoh Guru Negeri Johor 2019.
Anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka itu terharu dan tida menjangka menerima anugerah tersebut yang disifatkan amat bermakna dalam hidupnya selepas lebih 40 tahun mencurah bakti dalam profesion perguruan sejak 1977.
Menurut bapa kepada enam anak yang pernah menjadi Tokoh Guru Daerah Segamat 2016, beliau berpuas hati memilih kerjaya sebagai guru dan banyak pengalaman tidak ternilai yang diperolehnya sepanjang menjadi guru, guru penolong kanan serta pengetua.
“Saya bukan sahaja mengajar Bahasa Inggeris semasa menjadi guru tetapi pernah terlibat dalam semua aktiviti pelajar termasuk kegiatan sukan dan kurikulum, begitu juga kegiatan yang melibatkan ibu bapa pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima anugera tokoh tersebut dalam Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Johor 2019 di Dewan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kempas, di sini sebentar tadi.
Ayob yang menjadi penasihat Program Sekolah Amanah Kementerian Pendidikan dari 2014 hingga 2017 berkata, cabaran para guru pada masa kini adalah untuk meningkatkan profesionalisme masing-masing supaya kekal relevan dengan keadaan semasa.
Beliau sebelum ini pernah menjadi pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan, Batu Anam; SMK Gemereh dan SMK Tinggi Segamat di Segamat selain pernah menerima anugerah Wind Orchestra:Gold Medal peringkat antarabangsa pada 2010.
Selain itu beliau pernah menerima Niche Area:Pertandingan Ragbi Dunia tempat ketiga dan pernah menyertai misi sukarelaan dan bantuan kepada anak yatim korban tsunami di Acheh, Indonesia pada 2010.
Beliau juga pernah menyumbangkan beberapa hasil ilmiah seperti buku teks Bahasa Malaysia Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Peralihan dan buku teks Bahasa Malaysia tingkatan 4. – UTUSAN ONLINE











