KUALA LUMPUR 10 April – Kejohanan bola tampar Terbuka Langkawi yang berada dalam jelajah dunia bola tampar pantai FIBV (Persekutuan Bola Tampar Antarabangsa) akan kembali ke pulau legenda itu pada 11 hingga 14 April ini.
Pasukan-pasukan handalan dunia dari Asia, Eropah, Australasia dan Amerika telahpun mengesahkan penyertaan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif E-Plus Global Sdn. Bhd, yang merupakan penganjur kejohanan, Andrew Ching berkata, selepas saingan sengit dalam edisi tahun lepas, beliau yakin peminat sekali lagi berpeluang untuk menyaksikan pertarungan mendebarkan pada tahun ini.
“Setelah berjaya menempatkan Terbuka Langkawi sebagai salah satu kejohanan yang penting dalam kalendar Jelajah Dunia Bola Tampar Pantai FIVB, kami teruja bahawa edisi 2019 akan menyaksikan atlet antarabangsa handalan dunia bakal bersaing di Langkawi dalam kategori lelaki dan wanita.
“Kami boleh menjangkakan aksi menarik untuk peminat,” katanya.
Untuk kategori lelaki, pasukan yang hadir melibatkan Afrika Selatan, Australia, Austria, Colombia, Hungary, Iran, Jepun, Kanada, Kazakhstan, Latvia, Norway, New Zealand, Poland, Rusia, Ukraine dan juga tuan rumah Malaysia.
Sementara dallam kategori wanita pula akan menampilkan pasukan dari Amerika Syarikat, Belanda, Greece, Hong Kong, Hungary, Jerman, Jepun, Kanada, Latvia, New Zealand, Romania, Rusia, Sweden, Switzerland, Thailand, Ukraine dan Malaysia. – UTUSAN ONLINE











