KUALA LUMPUR – Pelakon Anzalna Nasir hari ini dilantik oleh MISB Resources Sdn. Bhd. untuk menjadi duta jenama produk NR untuk tempoh setahun bermula 25 Mac lalu.
Pemilihan selebriti itu yang memasuki trimester kedua kehamilan bertetapan dengan misi meremajakan jenama produk rangkaian ramuan herba tradisional tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif MISB Resources Sdn. Bhd. Syed Hidzir Tan Sri Datuk Syed Agil Barakbah berkata, pemilihan Anzalna sebagai duta NR bukan sahaja semata-mata berdasarkan imej ikon wanita Melayu di negara ini tetapi aspirasi dan amalan penjagaan diri yang diamalkan aktres tersebut dengan meggunakan produk NR menjadi asas kepada pelantikan.
“Anzalna komited untuk berkongsi dengan peminat tentang produk yang dipercayainya dan NR telah menjadi pilihan keluarga sejak dua generasi lalu, kini tiba masanya giliran beliau untuk meneruskan tradisi tersebut dengan mengamalkannya ketika hamil, bersalin dan 100 hari selepas bersalin kelak.
“Kerana itulah NR terbuka hati untuk melantik Anzalna sebagai duta eksklusif pertama buat julung kalinnya sejak ramuan herba ini diformulasi 30 tahun yang lalu,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perlantikan duta eksklusif NR di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Sebagai duta, Anzalna akan menggunakan pelbagai variasi produk termasuk rangkaian Herbanika Bersalin NR, set bersalin yang disediakan hasil rumusan tradisional untuk sesi berpantang, kesihatan bersalin dan kecantikan.
Ramuan turun-temurun yang berasaskan herba asli daripada hutan hujan tropika itu diproses dengan menggunakan mesin moden dengan taraf piawaian dan ketetapan yang telah ditentukan Kementerian Kesihatan Malaysia. – K! ONLINE











