KUALA LUMPUR 1 April – Al Rajhi Bank Malaysia (ARBM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan pihak PT. Bank Rakyat Indonesia Syariah (PT. Bank BRISyariah) membabitkan kerjasama platform kaedah pembayaran ke Arab Saudi.
Kerjasama yang dimeterai baru-baru ini menawarkan kaedah pembayaran alternatif kepada agensi pelancongan dan pengembaraan Indonesia membabitkan transaksi kewangan seperti kiriman wang, pemindahan dana serta tukaran mata wang asing pada kadar dan caj yang kompetitif.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ARBM, Steve Chen, pihaknya sebelum ini memeterai perjanjian perkongsian dengan PT. Bank Muamalat Indonesia yang menjadi rakan pertama dan berharap untuk memperluaskan kerjasama itu dengan lebih banyak rakan bagi menggunakan platform berasaskan Syariah.
“Tawaran produk ini yang pertama seumpamanya di pasaran dan kami menyediakan kaedah pembayaran dalam talian yang selamat, mudah dan lancar untuk pengendali ibadah haji dan umrah secara terus kepada penerima atau waris di Arab Saudi.
“Indonesia misalnya adalah antara destinasi utama bagi tujuan kiriman wang ke Arab Saudi. Kami mempunyai seramai kira-kira sejuta jemaah Indonesia setiap tahun dan angka itu akan terus meningkat dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Presiden PT. Bank BRISyariah, Moch Hadi Santoso berkata, penyelesaian pembayaran itu akan membantu para pelanggannya melakukan transaksi berkaitan dengan lebih lancar. – BERNAMA











