Aifa ungguli anugerah KPM-MSSM-Milo 2018 - Utusan Malaysia

Aifa ungguli anugerah KPM-MSSM-Milo 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 11 April- Bintang skuasy negara, Aifa Azman merangkul Anugerah Emas dalam Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan-MSSM-Milo 2018.

Dengan kejayaan itu, Aifa berjaya mengikut jejak idolanya yang juga bekas jaguh dunia, Datuk Nicol Ann David yang pernah merangkul anugerah tersebut.

Anugerah Emas adalah anugerah tertinggi yang dipertandingkan pada majlis itu dan pemenang dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan sukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada tahun lalu, Aifa berjaya meraih pingat gangsa di Sukan Asia Palembang, Indonesia selain merangkul emas di Terbuka British 2018 dan pingat gangsa di Sukma Perak.

Aifa ketika ditemui pemberita berkata, beliau tidak menyangka dinobatkan sebagai pemenang anugerah itu dan pasti ianya menjadi pembakar semangat untuk lebih berjaya selepas ini.

“Ini merupakan pencapaian bermakna buat saya kerana berjaya mengikuti jejak langkah Nicol yang pernah memenanginya dulu,” katanya ketika pemberita selepas menerima Anugerah Emas di sini hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin mewakili Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Aifa yang merupakan pemain di kedudukan ke-68 dunia itu mengetepikan beberapa pencabar lain termasuk pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, Fauzi Kaman Shah dari sukan pelayaran.

Bagaimanapun, Muhammad Fauzi tetap dijulang sebagai pemenang anugerah Anugerah Putera manakala, Anugerah Puteri pula dimenangi oleh ratu gimnastik negara, Izzah Amzan.

Dalam pada itu, Anugerah Jurulatih Cemerlang pula dimenangi oleh Mohd. Saizul Hafifi Md. Nor yang juga merupakan jurulatih ragbi tujuh sebelah negara.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini