Ahli UMNO di Johor meningkat 44,500 jadikan keseluruhan 439,000 - Utusan Malaysia

Ahli UMNO di Johor meningkat 44,500 jadikan keseluruhan 439,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 30 April – Keahlian UMNO Johor menyaksikan peningkatan seramai 44,536 ahli sehingga kini sekali gus menjadikan keseluruhan ahli UMNO di negeri ini seramai 439,641, semakan yang dibuat selepas proses pemutihan dijalankan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, secara keseluruhan ahli baharu itu terdiri daripada golongan muda.

Menurutnya, UMNO Johor percaya, antara faktor yang menyumbang kepada penambahan ahli parti itu adalah kerana rakyat secara keseluruhan kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat gagal untuk menunaikan janji sehingga hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita juga dapat lihat bahawa masyarakat khususnya golongan B40 dan masyarakat di luar bandar sangat tertekan dengan keadaan ekonomi semasa dan juga dengan kos sara hidup yang meningkat, kita juga tahu pasaran saham terus jatuh,

“Apa yang kita nampak kerajaan masih terlalu berpolitik dalam soal hendak menjaga kepentingan, jadi, saya pasti masyarakat berharap kerajaan tidak lagi berlengah-lengah dalam soal menjaga kebajikan masyarakat rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.

Hasni berkata, begitu juga dengan orang muda yang ramai tidak berpuas hati dengan kerajaan sekali gus menyumbang kepada peningkatan keahlian.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat hari ini juga mengambil ketetapan bahawa, UMNO Johor menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan bermaksud Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor akan terus dipertahankan dan disokong.

“UMNO Johor jelas bahawa kita tidak akan berkompromi tentang peranan dan tangungjawab parti untuk mendukung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor yang mana ia bukan sahaja melindungi Institusi Diraja tetapi kita berpendapat sesiapa sahaja yang menggugat kedaulatan Raja adalah sesuatu tidak wajar,” katanya.

Pada mesyuarat sama, Hasni berkata, UMNO Johor juga mengambil pendirian menyokong hasrat kerajaan untuk menurukan had umur layak mengundi kepada 18 tahun daripada 21 tahun sebelum ini dengan beberapa pindaan seperti menimbangkan pendaftaran pengundi secara automatik apabila mencapai usia tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini