KUALA LUMPUR 8 April – Seorang lelaki cedera di kepala dan menerima tujuh jahitan selepas dipukul menggunakan sebiji batu bata oleh adik kandungnya sendiri di Kampung Kopungit, Sabah pada Sabtu lalu.
Portal berita Utusan Borneo melaporkan, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden George Abd. Rakman berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 5 petang Sabtu lepas.
Menurutnya, sebelum kejadian mangsa yang berumur 51 tahun bertengkar dengan suspek di kawasan luar rumahnya di Kampung Kopungit, Sabah.
“Suspek berusia 49 tahun itu bertindak memukul abangnya sebelum meninggalkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah berdekatan tangga rumah.
“Anak mangsa yang menyedari kejadian itu segera membawa bapanya ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Sabah untuk mendapat rawatan lanjut dan suspek berjaya ditangkap kira-kira jam 8.50 malam hari sama dan direman sehingga 10 April ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, turut dirampas ialah sebiji batu bata yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu sebagai barang kes
Ujar George, suspek didapati mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah narkotik dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan.
Tambanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana kandungan air kencing suspek dikesan mengandungi dadah. – UTUSAN ONLINE











