KAJANG – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) hari ini mendedahkan bahawa penggunaan dadah sintetik seperti methamphetamine kini semakin menjadi pilihan golongan muda terutamanya di kalangan remaja.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, penggunaan dadah jenis tersebut dilihat semakin popular di kalangan penagih muda berbanding dadah tradisional seperti ganja.
“Berdasarkan kajian yang dilakukan, antara faktor yang dilihat menjadi penyumbang kepada peralihan ini adalah berikutan lambakan dadah jenis sintetik yang semakin mudah didapati dan ciri-ciri fizikalnya yang mudah untuk disorok serta digunakan.
“Dadah jenis tradisional bagaimanapun masih lagi menjadi pilihan golongan penagih yang lebih berusia,” katanya pada satu sidang akhbar selepas merasmikan Bengkel Pendekatan Bersepadu Menangani Penagihan Dadah dan Pelencongan Sosial Remaja Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Pejabat AADK Sungai Merab di sini.
Bengkel tersebut yang turut disertai oleh 36 NGO dari seluruh negara bertujuan memperkasakan peranan komuniti dalam membantu mendidik serta membanteras penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat.
NGO yang turut terlibat dalam bengkel yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) itu adalah Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Pertubuhan Bulan Sabit Hijau Malaysia dan Persatuan Pengasih Malaysia.
Menurut Zulkifli, penglibatan remaja dalam lingkungan umur 13 hingga 18 tahun dengan dadah jenis methamphetamine berada pada peratusan yang membimbangkan iaitu sebanyak 45.6 peratus.
“Bagaimanapun bagi tahun 2019, AADK akan lebih fokus dalam mengenalpasti dan melaksanakan pelbagai program membanteras penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat.
“AADK juga sedang merangka model baharu yang melibatkan pihak berkepentingan, NGO serta seluruh komuniti melalui input daripada sesi program dan maklumbalas yang diterima melalui sesi bersama masyarakat yang diadakan,” jelas beliau. – K! ONLINE










