566 tong LPG bernilai RM57,403 disita - Utusan Malaysia

566 tong LPG bernilai RM57,403 disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 1 April – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri menyita 566 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) bernilai RM57,403.60 dalam satu operasi di sini semalam.

Pengarah KPDNHEP negeri, Adnan Abd Rahman berkata, serbuan tersebut adalah hasil risikan dan serbuan sepasukan pegawai penguatkuasa ke atas sebuah premis runcit menjual LPG di Kampung Bechah Keranji di sini kerana disyaki menyimpan LPG melebihi kuantiti yang dilesenkan.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita sebuah lori dalam Ops Gasak III tersebut yang bermula pada pukul 11.30 pagi hingga 8.00 malam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan awal mendapati premis tersebut mempunyai lesen menjual runcit namun apabila pemeriksaan lanjut dibuat kita dapati stok simpanan oleh pemilik premis adalah melebihi had kuantiti yang dibenarkan.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana mempunyai barang kawalan LPG melebihi kuantiti yang dilesenkan.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dihukum denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama, atau denda RM3 juta bagi kesalahan kedua atau penjara sehingga lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Adnan adalah Pengarah KPDNHEP negeri yang baharu dan mula bertugas bulan lalu menggantikan tempat Khalid Tik yang berpindah ke Perak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini