KOTA TINGGI – Kira-kira 300 tan minyak terpakai dibuang ke dalam laut sehingga menyebabkan pencemaran di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar di sini sejak dua hari lalu
Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan, Dickson Dollah berkata, kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak itu dilakukan sejak 6 pagi hari ini melibatkan kawasan seluas empat batu nautika dari pesisir pantai.
“Pencemaran dianggarkan membabitkan sebanyak kira-kira 300 tan minyak dipercayai akibat aktiviti pembuangan minyak oleh kapal tangki sejak dua hari lalu.
“Ekoran kejadian itu, 18 anggota daripada unit kecemasan telah digerakkan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan bermula hari ini,” katanya.
Semalam, Jabatan Laut Wilayah Selatan menemui tumpahan minyak melibatkan kawasan sepanjang satu kilometer di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar. – K! ONLINE











