LUMUT 30 April – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Seri Manjung mengeluarkan kompaun terhadap 22 majikan kerana gagal mendaftarkan pekerja mereka dalam Ops Kesan.
Pengurus Perkeso Seri Manjung, Mohd. Shaperi Md. Salleh berkata, Perkeso Seri Manjung telah melakukan pemeriksaan terhadap 137 majikan sejak 1 April lalu sehingga hari ini di beberapa kawasan sekitar daerah Manjung melibatkan lima operasi.
Menurutnya, pemeriksaan melibatkan premis perniagaan di kawasan Manjung Point, Taman Samudera, pusat beli belah AEON Seri Manjung dan Tesco Seri Manjung.
“Daripada jumlah majikan yang diperiksa, sebanyak 22 majikan gagal mematuhi Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan dikenakan kompaun antara RM500 hingga RM4,000.
“22 kompaun yang dikeluarkan berjumlah RM16,500” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat Perkeso Seri Manjung di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shaperi, majikan memberikan pelbagai alasan untuk mengelak daripada dikenakan kompaun.
Kata beliau, antaranya tidak mengetahui majikan perlu mencarum untuk pekerja, tidak tahu sama ada pekerja layak atau tidak layak mencarum dan tidak cukup duit untuk mencarum.
“Ada yang mendakwa Perkeso tidak pernah memberitahu majikan perlu membuat caruman untuk pekerja sedangkan kita menggunakan pelbagai medium termasuk mengadakan sidang akhbar,” katanya.
Katanya, semua majikan yang kenakan kompaun dinasihatkan supaya mendaftar segera dengan Perkeso demi kebajikan pekerja masing-masing terpelihara dan terbela sekiranya berlaku kemalangan.
Mohd. Shaperi berkata, pemeriksaan terakhir terhadap majikan yang dijalankan hari ini mendapat kerjasama pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Seri Manjung.
Katanya, ini merupakan kerjasama julung kali antara Perkeso Seri Manjung bersama KWSP Seri Manjung dalam melakukan pemeriksaan terhadap majikan yang enggan mencarum pekerja mereka.
“Majikan diberikan nasihat dan kesedaran mengenai kepentingan membuat caruman Perkeso dan KWSP,” katanya. – UTUSAN ONLINE











