KUALA LUMPUR – Seramai 16 individu ditahan dalam satu serbuan ke atas dua buah premis yang menjalankan aktiviti perjudian secara online di Taman Miharja, Cheras di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, serbuan pertama telah dilakukan kira-kira pukul 10 malam ke atas sebuah premis yang baru beroperasi selama lima hari.
“Seramai enam lelaki warga asing yang terdiri daripada penjaga kaunter dan pelanggan premis berusia dalam lingkungan 21 hingga 41 tahun telah ditahan.
“Kami turut merampas enam komputer riba, tiga unit modem, dua buku catatan serta wang tunai berjumlah RM100,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamed Mokhsein, dalam serbuan kedua pula seramai 10 lelaki berusia 28 hingga 65 tahun telah ditahan.
“Mereka yang ditahan merupakan tujuh lelaki warga tempatan yang merupakan kaki judi dan penonton, dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga pintu premis dan seorang lelaki penjaga kaunter warga Bangladesh telah ditahan.
“Pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM700, dua buah laptop, satu unit modem serta ‘router’ dan enam unit telefon bimbit daripada premis yang baru beroperasi selama sebulan itu,” katanya.
Tambah beliau, kesemua yang ditahan kini direman selama tiga hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
“Kes kini disiasat dibawah Seksyen 4B(a) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953,” tegas beliau. – K! ONLINE











