KLANG – Seramai 10 ahli baharu disasarkan setiap bulan dari Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) di sekitar daerah ini menjadi skuad Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ketua AADK Daerah Klang, Baharuddin Ahmad berkata, penyertaan mereka itu bertindak sebagai mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat berhubung penyalahgunaan dadah di kawasan mereka.
“Ini merupakan kaedah serampang dua mata dalam memastikan penglibatan masyarakat bagi membasmi masalah dadah di negara ini amnya dan daerah ini khususnya.
“Saluran maklumat itu termasuk lokasi penagihan dadah, pengedaran bahan larang berkenaan di samping bekerjasama dalam usaha merawat dan memulihkan penagih,” katanya dalam sidang akhbar selepas program latihan kepada 25 ketua skuad AADK Parlimen Kapar di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan rekod, dadah yang paling kerap digunakan penagih di daerah ini adalah melibatkan syabu dan heroin.
Ujar Baharuddin, Orang Kena Pengawasan (OKP) berkaitan dadah di sekitar daerah ini pula seramai 778 orang yang berusia 21 hingga 50 tahun.
“Justeru, skuad AADK ini juga secara tidak langsung membantu melihat dan memantau OKP ini supaya tidak terjebak kembali dalam kancah penyalahgunaan dadah.
“Namun, skuad ini tidak mempunyai kuasa untuk menangkap atau menyoal siasat penagih dadah kerana tugas itu hanya boleh dilakukan oleh anggota atau pegawai AADK,” katanya. – K! ONLINE











