Menyedari kepentingan bidang kemahiran dan vokasional selaras dengan pengenalan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), syarikat Zull Design Autotronic (ZDA) memperkenalkan Program Bengkel dan Latihan Projek Tahun Akhir (FYP). Ia bertujuan memberi ksedaran kepada pelajar mengenai bidang inovasi dan melatih mereka supaya lebih kreatif dan berinovasi serta sukakan cabaran.
Lebih daripada itu, pengurus projek berkenaan, Muhammad Asif Zulkifli berkata, pihaknya berharap usaha berkenaan dapat membantu kerajaan bukan sahaja untuk memperkasa program TVET, malah menambah nilai supaya kumpulan sasar berkenaan juga mempunyai nilai-nilai keusahawanan.
“Selain menerapkan nilai keusahawanan, kami mahu mereka mempunyai keberanian dalam membuat keputusan supaya lebih kreatif dalam menyelesaikan sebarang masalah,’’ ujarnya.
Justeru katanya, menerusi program tersebut pelajar akan diberi tugasan menghasilkan projek dengan bimbingan tenaga pengajar ZDA yang berkemahiran serta pakar dalam bidang reka bentuk mahupun inovasi.
Selain itu kata beliau, pihaknya membantu memperbaiki inovasi yang tidak begitu sempurna iaitu bagi pelajar yang mengikuti projek lama dan menempah projek tanpa mempelajari cara fabrikasi sesuatu produk dengan betul.
Beliau berkata, dengan adanya program seumpama itu pelajar tidak terlalu bergantung kepada satu sumber pekerjaan, sebaliknya mampu mengendalikan projek-projek individu sekali gus menjana pendapatan dari segi keusahawanan. Mereka juga diharap mampu berfikir di luar kotak dan mampu menonjol satu tahap lebih tinggi daripada orang lain.
“Program ini juga berkait rapat dengan usaha kerajaan dalam membangunkan negara dengan melahirkan usahawan-usahawan yang mampu menghasilkan nilai produk yang tinggi komersialnya.
“Justeru kami mengalu-alukan dan menerima pelajar dari mana-mana universiti atau institut yang ingin menyertai program ini.
“Tempohnya bergantung kepada pelajar tetapi kami menyarankan agar mereka menyertainya mengikut silibus yang ditawarkan,” ujarnya.











