LONDON 28 Mac – Granit Xhaka memberi tamparan hebat buat Arsenal menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle United, Isnin ini apabila mengalami kecederaan paha ketika beraksi buat Switzerland dalam kelayakan Euro 2020.
Pemain tengah itu, yang meledak gol ketika Switzerland mengikat Denmark 3-3 semalam dikeluarkan pada minit ke-79 akibat kecederaan yang dialami.
Ketika ditanya mengenai keadaan Xhaka, jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic berkata, pemain itu minta dikeluarkan 10 minit sebelum diganti.
Switzerland sedang mendahului 3-0 di St. Jakob-Park ketika Xhaka dibawa keluar sebelum membenarkan pasukan pelawat mengejar untuk kedudukan 3-3.
Keadaan itu menyebabkan peminat tidak berpuas hati dengan tindakan jurulatih mengeluarkan Xhaka.
“Granit tidak boleh bertahan lama di atas padang.
“Dia minta saya mengeluarkannya 10 minit sebelum diganti kerana mengalami adductor paha, dia tidak boleh meneruskan permainan,” kata Petkovic.
Perkembangan terbaharu Xhaka pasti meresahkan Arsenal kerana pemain berusia 26 tahun itu menunjukkan peningkatan prestasi di bawah bimbingan Unai Emery.
Xhaka telah beraksi dalam 32 perlawanan buat Gunners musim ini, dan dia meledak empat gol serta melakukan tiga gerakan gol.
Arsenal yang kini menduduki tangga keempat liga tidak boleh melakukan kesilapan dalam baki lapan saingan kerana hanya dipisahkan dengan dua mata di depan pasukan tangga kelima, Manchester United. – AGENSI











