KUALA LUMPUR 26 Mac – WeChat Pay, satu daripada aplikasi komunikasi sosial terbesar dimiliki oleh Tencent merekodkan lebih 800 juta pengguna aktif bulanan (MAU) di China, Hong Kong dan Malaysia pada suku kedua 2018 menjadikannya antara aplikasi paling popular.
Ketua Pegawai Eksekutif WeChat Pay MY, Jason Siew berkata, aplikasi itu menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan bermanfaat kepada pengguna daripada tambah nilai dalam talian, pembelian tiket penerbangan dan bas mahupun transaksi di kedai-kedai runcit.
Katanya, pengguna WeChat Pay MY boleh membuat belian di stor-stor runcit dengan hanya mengimbas kod QR pada telefon bimbit mereka.
“Pada ketika ini, kami sedang berusaha untuk memperluaskan pangkalan peniaga kami supaya merangkumi lebih banyak kedai seperti KK Mart dan Starbucks.
“Ini seterusnya memberi pengguna lebih banyak peluang untuk menggunakan WeChat Pay dan menikmati pembayaran yang lebih mudah dan lancar,” katanya pada majlis pameran perkhidmatan ditawarkan bertema Memajukan Landskap Masa Depan Digital Malaysia dengan WeChat Pay MY di sini hari ini.
WeChat Pay menyaksikan pertumbuhan pengguna yang memberangsangkan sejak pelancarannya di Malaysia pada Ogos 2018. – UTUSAN ONLINE











