KUALA LUMPUR 9 Mac- Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh pokok dalam kejadian di hadapan pasar raya NSK di Jalan Kuchai Lama di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 pagi, kenderaan Toyota Vios dipandu mangsa yang identitinya masih belum dikenal pasti itu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di bahu jalan lokasi kejadian.
Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.29 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh dengan kekuatan 10 anggota termasuk pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba, pihak bomba mendapati kemalangan melibatkan seorang mangsa wanita yang berada dalam kenderaan dengan nombor pendaftaran WNA 6683.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE











