Wanita kurung, tinggalkan anak dua hari diberi kaunseling - Utusan Malaysia

Wanita kurung, tinggalkan anak dua hari diberi kaunseling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Ibu kandung kepada kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dikurung dan ditinggalkan selama dua hari di sebuah rumah di Taman Hijrah di sini Jumaat lalu akan diberikan kaunseling oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah JKM Perlis, Mohammad Hazam Ismail berkata, ibu tunggal berusia 31 tahun itu didapati mempunyai kepercayaan yang salah iaitu anaknya selamat walaupun ditinggalkan berseorangan di rumah ketika dia berurusan di luar.

“Wanita itu percaya anaknya selamat berada di rumah kerana dia menyatakan telah menyimpan semua benda berbahaya seperti pisau serta mencabut kepala tong gas.

“Itu antara perkara yang kita kesan dan pihak JKM akan menjalankan sesi kaunseling untuk memurnikan kembali pemikiran wanita terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kata beliau, pegawai JKM juga akan memberikan sokongan moral dan membuat lawatan ke rumah wanita berkenaan dari semasa ke semasa.

“Selain itu, kita akan melihat keperluan untuk membantunya daripada aspek kewangan memandangkan dia adalah ibu tunggal dan hanya bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, anak wanita itu masih berada di wad Hospital Tuanku Fauziah di sini dan akan diletakkan di bawah jagaan JKM untuk sementara waktu.

“Kita akan serahkan kembali kanak-kanak itu kepada ibu kandungnya kerana didapati wanita itu mahu dan masih mampu menjaga anaknya selain tiada unsur penderaan fizikal berlaku dalam kes ini,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan penderitaan seorang budak perempuan berusia tujuh tahun yang dikurung dan ditinggalkan ibu kandungnya sendiri di sebuah rumah di Taman Hijrah sejak Jumaat lalu berakhir apabila dia diselamatkan pihak polis malam Ahad lalu. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN