Tarikh 10 Mac adalah hari untuk meraikan peranan wanita dalam masyarakat dengan Hari Wanita Antarabangsa. Melihat kepada dunia e-dagang, penambahbaikan masih diperlukan dalam ekonomi digital agar industri berkembang maju dan mencapai matlamat besar untuk masa depan.
Jumlah RM416 bilion adalah sasaran untuk platform e-dagang di Asia Tenggara menjelang 2025. Ini adalah anggaran ramalan Google dan Temasek yang baru-baru ini dikemas kini dalam ekonomi internet. Walaupun potensi itu tidak boleh dinafikan, lebih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat utama.
Laporan Google mengenal pasti enam cabaran utama yang perlu diselesaikan dalam dekad yang akan datang untuk membuka peluang penuh kepada potensi ekonomi internet Asia Tenggara. Antara enam cabaran utama termasuk keupayaan syarikat-syarikat ekonomi internet untuk menarik para profesional yang berbakat.
Bakat paling kritikal
Satu laporan sebelumnya oleh Google mengenal pasti bahawa bakat adalah cabaran yang paling kritikal dan tidak dapat diselesaikan untuk pembangunan ekonomi internet Asia Tenggara.
Disebabkan kekurangan calon yang sesuai di rantau ini, syarikat-syarikat digital di Asia Tenggara telah berusaha keras untuk merekrut dan membangunkan bakat yang semakin meningkat dengan pelbagai fungsi.
Dilaporkan, ekonomi internet menggunakan lebih daripada 100,000 profesional yang berkemahiran tinggi di Asia Tenggara, sebuah ‘lubuk’ bakat yang berkembang 10 peratus setahun.
Dalam penyelidikan baru-baru ini, didapati bilangan wanita di peringkat pengurusan tertinggi lebih rendah di Malaysia berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara. Kajian ini diperoleh dengan menganalisis beratus-ratus kakitangan pengurusan tertinggi dan pertengahan daripada 15 platform e-dagang yang paling banyak dilawati di Malaysia.
Dengan industri e-dagang di Malaysia diramalkan bernilai RM32 bilion menjelang 2025, perniagaan e-dagang di negara ini perlu mengatasi perbezaan jantina. Wanita kini menjadi sebilangan besar pengguna internet di Malaysia.
Pengguna internet
Satu penyelidikan yang dikeluarkan oleh Nielson pada 2017 menyatakan bahawa 47 peratus pengguna internet adalah wanita. Sehingga suku pertama 2018, Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa 48 peratus daripada penduduk negara adalah wanita.
Oleh itu, pandangan keseluruhan pengguna teknologi perlu dipertimbangkan apabila mencipta servis atau produk untuk e-dagang. Kemajuan teknologi mempunyai kuasa untuk mempengaruhi serta memudahkan cara hidup dan untuk menjadikannya realiti, minda daripada pelbagai demografi perlu dipertimbangkan dalam penciptaannya untuk memaksimumkan keberkesanan kepada pengguna.
Ia amat mustahak bagi sesuatu industri untuk mempertimbangkan semua aspek dan input daripada masyarakat dan ia tidak adil sekiranya keputusan dibuat dengan mengambil kira sebahagian sahaja daripada mereka. Oleh itu, bilangan jantina yang seimbang untuk mewakili keputusan syarikat adalah penting bagi memajukan serta bagi mereka yang menggunakan teknologi.
Dalam satu kajian berasingan, ia menyatakan jabatan dengan bilangan pekerja tertinggi adalah dalam bidang operasi dan pemasaran. Di tempat ketiga dan keenam adalah sektor kejuruteraan dan teknologi maklumat (IT).
Berdepan cabaran
Ini mendedahkan bahawa majikan dalam sektor e-dagang masih berdepan cabaran dalam pencarian kakitangan profesional yang layak dan berkemahiran tinggi seperti kejuruteraan perisian, pemasaran digital, sains data dan pemasaran produk.
Oleh demikian, apakah yang perlu dilakukan untuk menarik lebih banyak wanita terlibat di peringkat pengurusan tertinggi dalam industri e-dagang?
Bagi mengatasi masalah ini memerlukan kerjasama antara yang merekrut dan tenaga kerja akan datang. Jurucakap Facebook Indonesia menyatakan syarikat-syarikat digital perlu beralih daripada proses pengambilan pekerja tradisional untuk mengamalkan kaedah yang lebih berkesan dalam mengambil pekerja baharu.
Bagi menyelesaikan masalah ini, ia akan merangkumi proses pemantauan semula dan harapan dalaman untuk mengutamakan calon yang mempunyai motivasi diri serta berkesan dalam penyelesaian masalah dan konflik.
Ini bermakna kepentingan yang lebih perlu ditekankan terhadap jantina, mereka yang kemahiran tinggi serta memiliki pengetahuan khusus. Mereka yang merekrut daripada sektor digital harus melabur sumber dalam latihan kakitangan, memberi dorongan dan penekanan terhadap nilai kerja yang baik.
Minggu depan, saya akan berkongsi lebih banyak idea tentang apa yang boleh dilakukan, untuk melibatkan lebih ramai wanita dalam e-dagang.
Jeremy Chew adalah Ketua Pemasaran Kandungan di iPrice Group Malaysia (https://iprice.my)











