REMBAU 30 Mac – Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini mula dipenuhi penyokong-penyokong bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sejak pukul 7.30 pagi tadi.
Penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) yang turut disertai penyokong Pas dilihat berkumpul di kawasan deretan lot kedai yang terletak bersebelahan dengan pusat penamaan tersebut.
Turut kelihatan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
PRK Rantau perlu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban b yang membatalkan kemenangan tanpa bertanding, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
BN mencalonkan semula Mohamad yang juga merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan bagi mempertahankan kerusi yang telah didudukinya itu sejak 2004. – UTUSAN ONLINE











