Kami hanya duduk main game saja, tak bergerak ke mana-mana pun. Jadi, tak patut kaitkan kami dengan pengganas. Itu reaksi komuniti permainan dalam talian yang cukup popular pada masa kini seperti Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG), Fortnite dan Apex Legends.
Menurut Presiden Persatuan E-Sports Selangor, Afzaruddin Burhanuddin, rata-rata yang aktif dengan permainan tersebut adalah pemalu. Mungkin game yang mereka main nampak ganas, tetapi kalau jumpa berdepan, nak keluar suara pun payah, berat mulut!
“Majoriti gamers pemalu.
“Kalau tengok pertandingan peringkat dunia seperti liga paling besar, Defense of the Ancients (Dota) 2, semua gamer kalau ditemuramah, jawab pun sepatah dua. Seperti tak tahu nak cakap apa,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, Selangor, kelmarin.
Jadi, kalau nak kaitkan dakwaan pengganas, Brenton Tarrant yang menembak secara rambang ke arah kira-kira 300 jemaah di dua masjid di Christchurch, New Zealand, baru-baru ini akibat pengaruh permainan dalam talian sedemikian, itu tidak patutlah. Ini kerana umum tahu, pengganas terbabit berpegang kuat kepada doktrin ketuanan kulit putih (white supremacy) dan kebencian melampau terhadap Islam. Afzaruddin pun percaya Tarrant bukanlah seorang kaki permainan mana-mana video atau dalam talian! Lagipun Tarrant begitu mudah memperoleh lesen senjata api kategori A berikutan aspek undang-undang yang lemah di New Zealand, tidak seperti di Malaysia.
Sehubungan itu, saranan segelintir pihak agar permainan dalam talkian seperti PUBG diharamkan di negara ini seperti mana dilaksanakan di beberapa bandar di India hanya kerana tidak mahu masyarakat dipengaruhi unsur-unsur keganasan dilihat Afzaruddin sebagai tidak logik. Sebaliknya bergiat aktif dalam permainan sedemikian mampu membentuk pemikiran seseorang menjadi lebih kreatif. Seperti PUBG dan Dota, ia memerlukan para pemainnya membina strategi sesuai mengikut kreativiti masing-masing. Juga dalam permainan berkenaan, bermain secara berkumpulan dapat melatih semangat berpasukan.
Jelas Afzaruddin lagi, kebanyakan ibu bapa masih belum terdedah kepada sukan elektronik (e-Sukan). Di negara ini, industri tersebut masih dalam peringkat pengenalan. Namun begitu, ia semakin berkembang pesat di peringkat global. Banyak perkara positif yang dapat diperoleh pada masa akan datang jika kita sama-sama menceburinya. Sebagai contoh, anak-anak kita mampu menjadi atlet e-Sukan, sama dengan atlet-atlet sukan popular lain antaranya bola sepak, hoki dan badminton. Boleh mewakili hingga ke peringkat negeri dan kebangsaan malah dunia.
Dia memberikan contoh pemain profesional Dota 2 kelahiran Pakistan, Syed Sumail Hassan, 20, yang sekarang sudah bergelar jutawan. Syed Sumail kini bermain untuk pasukan Evil Geniuses, Amerika Syarikat (AS). Keluarga Syed Sumail pada asalnya hidup susah di Chicago selepas berpindah dari Karachi.
Malaysia juga tidak terkecuali memiliki pemain-pemain Dota yang hebat dan diiktiraf di peringkat dunia antaranya Mushi, MidOne, xNova dan Moon.
Kalau kita terutama ibu bapa terus bersikap terbuka, masa depan industri e-Sukan di negara ini mampu pergi lebih jauh lagi. Tidak hairan sekiranya ramai lagi rakyat Malaysia dipilih untuk bermain dengan pasukan-pasukan hebat dunia.
Jangan jadi jumud!
“KEPESATAN teknologi tidak boleh dihalang. Tapi tugas kita sebagai ibu bapa untuk mengawal dan mendidik anak-anak bermain secara positif.
“Kalau tak, jadilah negara jumud!” tegas Naib Presiden E-Sports Selangor, Mohd. Hafis Khairulah.
Menurutnya, masyarakat kita masih belum matang terhadap e-Sukan. Mereka melihat industri ini dari sudut hiburan semata-mata. Pada mereka, bermain game hanyalah hiburan. Paling kuat pun dapat hilangkan tekanan. Padahal ia mampu berkembang dengan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan.
Justeru, janganlah halang anak-anak muda kita daripada aktif dalam permainan dalam talian.
Lihatlah ia sebagai platform untuk masyarakat menjadikan industri e-Sukan sebagai kerjaya.
“Tak semestinya e-Sukan hanya tumpu menjadi game player. Ia juga boleh diperluaskan kepada bidang-bidang lain seperti kejurulatihan, pengurusan atlet.
“Apabila industri ini menjadi lebih besar, ia mampu menyediakan peluang-peluang pekerjaan. Dari segi pembangunan produk, ia boleh menjana pendapatan hingga puluhan ribu ringgit sebulan, misalnya hanya dengan menjual aksesori permainan,” katanya.
Kami perlu sokongan kerajaan
SEPERTI juga Persatuan E-Sports Selangor, pertubuhan sama di negeri-negeri lain mungkin bergerak menggunakan dana sendiri bagi menjayakan setiap aktiviti dan programnya. Namun sampai bila mereka mampu bertahan sebegini?
Sehubungan itu, Presiden Persatuan E-Sports Selangor, Afzaruddin Burhanuddin amat berharap kerajaan tidak kiralah negeri atau Pusat dapat memberikan sokongan sepenuhnya kepada mereka.
“Kalau tak dapat beri sumbangan kewangan, sediakan kemudahan lengkap bagi melahirkan atlet-atlet e-Sukan pun sudah memadai,” katanya.
Harapan anak-anak muda ini sewajarnya diberikan pertimbangan oleh kerajaan. Yang baik patut kita sokong. – UTUSAN ONLINE










