PUTRAJAYA – Beberapa kawasan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dilanda ribut kencang petang tadi sehingga menyebabkan kejadian pokok tumbang.
Ketua Balai Bomba Putrajaya, Che Shaari Abdullah berkata, ribut dan hujan selama 30 minit itu menyebabkan beberapa pokok tumbang di Presint 9 dan Presint 11.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan pada pukul 6.10 petang dan jentera tiba di lokasi pada pukul 6.16 petang dengan kekuatan 18 anggota.
“Selepas sampai di lokasi kejadian, kita dapati terdapat pokok tumbang yang menghalang laluan jalan utama di Presint 9 dan Presint 11.
“Kerja-kerja pembersihan oleh anggota bomba bermula pada pukul 6.17 petang dan operasi ditamatkan pada pukul 7.58 malam ini,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Gambar dan video kejadian ribut di Putrajaya itu turut dikongsi oleh komuniti setempat di laman Twitter dan juga Facebook ‘Komuniti Putrajaya’. – K! ONLINE











