LANGKAWI – Seorang penganggur berdepan tali gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh kanak-kanak, Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, pada bulan lalu.
Tertuduh, Ramlan Abdul Rashid, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Ridzwan Salleh.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada lima orang anak itu didakwa membunuh Nur Aisyah Aleya di sebuah rumah Blok G-3-4 Kuarters Hospital Langkawi, Mukim Kuah sini antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi, 23 Februari lalu.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mei depan sebagai sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat mangsa.
Sementara itu, isteri tertuduh berusia 40 tahun, seorang jururawat di HL yang turut direman sejak 7 Mac lalu dibebaskan hari ini dengan jaminan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah.
Kosmo! pada 7 Mac lalu melaporkan tanda tanya mengenai kehilangan seorang kanak-kanak perempuan sejak bulan lalu berakhir dengan kisah sedih apabila polis mengesahkan mangsa dibunuh selepas menemui tengkorak dan cebisan rambut mangsa di Gunung Raya di sini. – K! ONLINE











