[VIDEO] Lokman Adam, tiga lagi didakwa insiden kekecohan di UM - Utusan Malaysia

[VIDEO] Lokman Adam, tiga lagi didakwa insiden kekecohan di UM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan tiga lagi individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas pertuduhan membabitkan insiden Progam Sembang Santai bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Universiti Malaya (UM) minggu lalu.

Bagaimanapun, Lokman, 46, dan tiga lagi tertuduh iaitu Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim ,48, Salmon Arif Budiman Muchlis, 48, dan Mohd. Norzakifah Mohammed Nawi, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar.

Mengikut pertuduhan, Lokman didakwa dengan niat hendak menyebabkan kerugian kepada  Wong Yen Ke, 23, yang merupakan pelajar UM dengan cara mengoyakkan plakad milik mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di perhentian bas hadapan Restoran Amjal di Jalan Pantai Baharu di sini pukul 3.30 petang pada 22 Mac lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi tertuduh Abdul Mutalif, lelaki itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan dan menggunakan kekerasan jenayah ke atas pelatih portal, Siti Mariam Mohammad Nizar, 25, pada ibu jari tangan kanan mangsa pukul 3.45 petang pada tempat dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Lokman, Abdul Mutalif, Salmon Arif dan Mohd. Norzakifah turut didakwa bersama dengan seorang yang masih bebas sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang menyebabkan kecederaan kepada Yang Ke, dengan cara memegang rahang dan menarik leher mangsa dari arah belakang.

Mereka turut dituduh bersama seorang yang masih bebas menarik rambut mangsa sama dari arah belakang pukul 3.30 petang pada tempat dan tarikh sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman sama.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Adam Mohamed@Mamat manakala tertuduh Lokman diwakili peguam N. Logendran, Abdul Mutalif diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork sementara peguam Datuk M. Reza Hassan mewakili dua tertuduh Salmon dan Mohd. Norzakifah.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mei depan untuk sebulan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini