KANGAR 6 Mac – Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas akan memberi lebih kekuatan dalam menghadapi suasana politik hari ini yang menyaksikan agama Islam mula tergugat.
Video oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Sehubungan itu, beliau berharap urusan kerjsama antara kedua-dua parti terbesar orang Melayu dan Islam ini akan dipermudahkan oleh Allah SWT selepas sekian lama bersengketa.
Dalam masa sama, Hashim juga melihat kerjasama antara Pas dan UMNO bukan sahaja mendapat sambutan daripada akar umbi kedua-dua parti tersebut malah turut mendapat sokongan seluruh rakyat di negara ini.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita nampak suasana politik sudah berbeza yang memerlukan satu tindakan bersama antara kedua-dua parti itu untuk memelihara Perlembagaan dan kesucian agama yang mula dicabar.
“Dulu tidak ada asas kerjasama UMNO dan Pas, sekarang apabila agama Islam mula dinodai, menyebabkan perlunya kerjasama ini. Oleh sebab itu, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands kita membantu UMNO dan natijahnya mencapai kemenangan.
“PRK Semenyih menunjukkan lagi semangat kerjasama Pas dan UMNO ke arah perpaduan dan semakin mendapat sambutan akar umbi serta seluruh rakyat. Oleh sebab itu, kita tidak rasa langkah ini (kerjasama) merugikan Islam,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerjasama rasmi antara Pas dan UMNO yang diumumkan semalam bagi tujuan penyatuan ummah.
Sementara itu, Hashim menafikan dakwaan bahawa Pas merupakan parti yang tidak boleh dipercayai dalam menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti sebaliknya menegaskan mereka hanya bertindak keluar daripada mana-mana pakatan sebelum ini apabila Islam ditentang.
“Satu soalan yang perlu kita beri perhatian yang menyebabkan Pas keluar dalam pakatan-pakatan sebelum ini iaitu berpunca daripada siapa ?. Pas tidak pernah mungkir janji, kita berjanji bahawa kita tidak kacau agama lain dan Pas tidak pernah kacau.
“Tetapi yang mungkir janji adalah mereka. Apabila kita buat hal berkaitan Islam seperti ingin melaksanakan hudud itu hanya untuk orang Islam sahaja, itu pun diganggu. Apabila orang mungkir janji, Pas akan menentang,” katanya. – UTUSAN ONLINE











