KUALA LUMPUR 7 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat permohonan maaf serta-merta.
Perkara itu berikutan kenyataan tidak bertanggungjawab Guan Eng mengenai kerjasama UMNO dan Pas seolah-olah satu pengisytiharan ‘perang’ terhadap masyarakat bukan Melayu di sebuah portal semalam.
Asyraf Wajdi malah menegaskan, kenyataan cauvinis itu secara jelas memainkan sentimen perkauman dan cuba menggugat keharmonian perpaduan di negara ini.
“Siasatan harus dilakukan secara telus, segera dan adil terhadap beliau di bawah Akta Hasutan 1948 kerana ini telah mencuit serta mengguris hati orang Melayu. Kalau beliau sayangkan negara dan ada maruah, sila letak jawatan.
“61 tahun Barisan Nasional memerintah negara sebelum ini tidak pernah menteri kanan melafazkan kenyataan sedemikian, jadi ini adalah sesuatu yang tidak patut keluar daripada mulut seorang menteri,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini hari ini.
Sebanyak 10 laporan polis sama turut dibuat oleh Setiausaha Agung Pemuda MCA, Daniel Wa Wai How, Ketua Pemuda MIC, R. Thinalan serta wakil Pas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
Kira-kira 100 orang hadir menzahirkan bantahan sebagai tanda protes berhubung kenyataan yang menimbulkan ketegangan antara kaum itu.
Selepas dikritik hebat penggunaan perkataan ‘perang’ kepada bukan Melayu, kenyataan Guan Eng telah diubah malam tadi, tidak lama selepas kenyataan asal yang merujuk kerjasama UMNO-Pas.
Jika klik pautan laporan berita asal di sebuah portal yang tular, tajuk beritanya kini diubah setelah Guan Eng membuat pembetulan kepada perkataan ‘perang’. Nota pengarang memaklumkan perkara ini di akhir artikel tersebut. Kali ini, digunanya perkataan ‘sasaran kepada bukan Melayu’. -UTUSAN ONLINE










