Van EMRS bukan ambulans biasa - Utusan Malaysia

Van EMRS bukan ambulans biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) atau Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semakin dikenali, namun tidak ramai yang tahu fungsi utama pasukan tersebut sebenarnya memberikan rawatan perubatan kecemasan untuk anggota bomba dan bukannya orang awam.

Namun, tahukah kita betapa pentingnya pasukan EMRS yang ditubuhkan sejak 2006 ini dan apakah implikasinya sekiranya sesebuah pasukan penyelamat yang turun menjalankan operasi menyelamat tanpa kehadiran unit ini ?

Baru-baru ini, Mega Wira berpeluang menemubual Unit EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas yang diketuai Najilan Che Pa bagi mengetahui lebih lanjut mengenai unit yang baru-baru ini menggemparkan negara apabila seorang daripada anggotanya, Muhammad Adib Mohd. Kassim meninggal dunia dipercayai dibelasah ketika rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya, Selangor tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Najilan ketika ditanya mengenai kejadian itu meminta supaya rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham berikutan kes tersebut masih dalam proses inkues dan sebarang komen dikeluarkan mana-mana pihak boleh mengganggu proses tersebut.

Bercerita lanjut, beliau yang menerajui unit itu di BBP Sri Hartamas sejak 2015 mengakui, EMRS sememangnya dilihat sebagai unit yang paling tidak berisiko tinggi jika dibandingkan dengan unit lain seperti Unit Bahan Berbahaya (Hazmat), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan unit operasi menyelamat.

Namun apa yang tidak diketahui orang ramai adalah semua anggota termasuk dari unit EMRS perlu ‘turun padang’ membantu operasi dan dalam masa yang sama perlu bersedia sekiranya kemalangan menimpa anggota mereka.

“Kebiasaannya, setiap kali menerima panggilan kecemasan, walau untuk menyelamat kucing sekalipun, EMRS akan keluar bersama dengan jentera anggota sebagai persediaan sekiranya terjadi bencana di dalam bencana kerana tanpa EMRS, sesuatu operasi itu boleh dianggap tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Kita ‘standby’ untuk anggota kita sendiri dan bukan untuk orang awam. Ramai yang anggap kenderaan EMRS ini sama seperti ambulans biasa dan kalau ada kemalangan kita yang akan bawa mangsa ke hospital, perkara itu boleh terjadi, namun perlu ada permohonan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.

Menurut Najilan, kekeliruan orang ramai ini selalu terjadi dalam operasi yang melibatkan mangsa cedera yang terpaksa menunggu ketibaan ambulans perubatan untuk dibawa ke pusat perubatan terdekat.

“Semasa operasi menyelamat mangsa kemalangan, selepas berjaya keluarkan mangsa dari kenderaan misalnya dan pasukan perubatan belum tiba, kita akan berikan rawatan awal, ketika inilah orang awam akan bertanya mengapa tidak bawa mangsa terus ke hospital menaiki ambulans bomba, jadi kita akan terangkan kepada mereka fungsi sebenar EMRS.

“Kalau ada masa kita terangkan juga peralatan di dalam EMRS ini tidak selengkap peralatan ambulans perubatan biasa, oleh itu kita perlu dapatkan kebenaran atau permintaan KKM barulah kita boleh bawa mangsa ke hospital menggunakan kenderaan EMRS,” terangnya.

Mengulas mengenai kekuatan Unit EMRS BBP Sri Hartamas, Najilan memberitahu, buat masa ini mereka mempunyai lapan anggota dan jumlah tersebut mencukupi berikutan mereka sentiasa mendapat bantuan BBP lain sekiranya terdapat kes yang memerlukan lebih banyak EMRS.

Seorang daripada anggota Unit EMRS BBP Sri Hartamas, Fathurahman Zamani, 27, berkata, kejadian menimpa dirinya beberapa tahun lalu ketika menjalankan tugas memadam api di sebuah kilang perabot di Sri Petaling benar-benar membuka matanya mengenai kepentingan unit tersebut.

Ujar Fathurahman, kakinya terjerlus sehingga ke paras lutut ketika sedang menjalankan tugas memadam api bersama dua lagi rakan setugasnya.

“Ketika itu, saya masih belum diterima masuk ke Unit EMRS walaupun telah memohon sejak 2014, sejujurnya, saya memohon hanya kerana mahukan elaun lebih berbanding anggota biasa.

“Saya mungkin hilang nyawa atau anggota tubuh badan tanpa rawatan awal diberikan Unit EMRS yang berada di tempat kejadian, sebab itu bila saya diterima masuk ke unit ini pada tahun lalu, saya bertekad untuk menjalankan tugas saya melindungi rakan sekerja yang lain dengan sebaik mungkin,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN