KANGAR 10 Mac – Badan Perhubungan UMNO negeri telah lama membincangkan mengenai cadangan mewujudkan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Pas di Perlis.
Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membincangkan dengan lebih serius perkara yang sememangnya dinantikan itu.
Malah katanya, UMNO dan Pas Bahagian Arau telah mengadakan mesyuarat bagi semalam memperhalusi cadangan berkenaan.
“UMNO bincang lama dah mengenai cadangan ini dan akan mengorak langkah seterusnya. Kita berharap cadangan ini dapat direalisasikan secepat mungkin,” katanya di sini, hari ini.
Selepas menjalinkan kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas, kedua-kedua parti itu terus mengorak langkah apabila UMNO berhasrat mewujudkan kerajaan campuran dikenali sebagai kerajaan Penyatuan Ummah di empat buah negeri yang kini ditadbir BN dan Pas.
Mohamad dilaporkan berkata, hasrat itu telah dibincangkan dengan Pas pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas kedua-dua parti, baru-baru ini dan ia masih di peringkat cadangan sebelum tindakan lanjut.
Selain Perlis, negeri yang dikuasai BN adalah Pahang manakala Pas pula di Terengganu dan Kelantan selain perbezaan kecil kerusi antara kedua parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) di Perak serta Kedah
Terdahulu Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man menyambut baik dan bersetuju dengan cadangan mewujudkan kerajaan campuran BN dan Pas di negeri-negeri yang ditadbir kedua parti tersebut.
Kata Azlan, kerajaan campuran BN dan Pas merupakan satu cadangan yang positif ke arah mengorak langkah kerjasama antara dua parti terbesar orang Melayu Islam itu.
Pada masa ini, BN menguasai sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 15 kerusi di Perlis manakala Pas pula dua kerusi dan Bebas satu.
PH pula mempunyai tiga kerusi DUN itu masing-masing di Sena, Kuala Perlis dan Indera Kayangan serta Parlimen Kangar. – UTUSAN ONLINE











