JAKARTA 5 Mac – Calon Naib Presiden nombor satu, Ma’ruf Amin bertekad untuk memperbetulkan ketidaksamaan ekonomi masyarakat Indonesia bersama-sama calon Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Joko Widodo atau Jokowi.
Ma’ruf yang dipetik Republika.co.id sebagai berkata, beliau mahu memperkasakan ekonomi masyarakat Indonesia melalui koperasi-koperasi yang diwujudkan.
Katanya, beliau merayu semua pihak termasuk ulama komited memajukan ekonomi masyarakat kerana menurut Ma’ruf, tugas ulama bukan sekadar berdakwah, malah membangunkan rakyatnya.
“Tugas seorang ulama bukan hanya berdakwah, tetapi juga menjayakan dan memberi sumbangan dalam memperkasakan ekonomi umatnya,” katanya semalam.
Ma’ruf dalam pada itu berkata, bagi menguatkan ekonomi umat Islam, beliau mencadangkan konsep koperasi diperkenalkan di setiap masjid yang menurutnya dapat membantu umat Islam berdikari.
“Jika umat Islam mampu berdikari dan sedar akan kepentingan menjaga Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) serta menyumbang kepada bangsa, ini yang saya katakan sebagai arus baru ekonomi Indonesia,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ma’ruf sebagaimana lapor Tribunnews berkata, beliau sudah bersedia mengharungi debat pusingan ketiga yang berlangsung 17 Mac ini.
“Jika ditanya soal persiapan, InsyaAllah sudah siap, saya sudah siap,” kata Ma’ruf.
Tambahnya, debat ketiga akan mengetengahkan tajuk pendidikan, kesihatan, sosial, tenaga kerja dan budaya. – AGENSI











