KUANTAN 28 Mac – Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy mengeluarkan kenyataan tidak berasas apabila membuat tuduhan terhadap kerajaan negeri berhubung isu penguatkuasaan melibatkan kebun haram di Cameron Highlands.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, Ramasamy tidak mendapatkan fakta berhubung isu itu sebaliknya bertindak membuat tohmahan serta mengkritik kepemimpinan negeri ini.
“Sedangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan berkenaan adalah ekoran pekebun-pekebun terbabit telah mengerjakan kebun-kebun tersebut di dalam kawasan tadahan air Terla hingga mencemarkan air Sungai Ichat di situ.
“Buat pengetahuan Ramasamy, perbuatan pekebun haram itu jelas berbahaya dari segi aspek pencemaran air dan tanah. Ia jelas terkandung dalam Akta Tanah Negara kerana melibatkan kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zulhasli berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga hairan kenapa seorang ‘Yang Berhormat’ dari Pulau Pinang cuba mencampuri urusan pentadbiran di negeri ini.
“Kami ingin menasihatkan Ramasamy supaya mencari fakta sebelum membuat tuduhan berhubung isu penguatkuasaan terhadap kebun haram di Cameron Highlands,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, Suara Anak Pahang ingin mengetahui daripada Ramasamy berhubung kes terowong yang bernilai jutaan ringgit di Pulau Pinang.
“Kenapa kes itu masih tiada tindakan lanjut (NFA) dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE











