PULAU PINANG 29 Mac – Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu menubuhkan jawatankuasa siasatan khas bagi menyiasat kegiatan korek pasir yang tidak diketahui statusnya di perairan Jelutong di sini ketika ini.

Aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, jawatankuasa itu bagi membolehkan siasatan dilakukan secara menyeluruh termasuk kemungkinan wujudnya unsur rasuah di sebalik aktiviti tersebut.
Menurut beliau, kegiatan itu adalah sesuatu yang serius apatah lagi sudah berjalan tanpa sebarang pengawasan pihak berkuasa khususnya kerajaan negeri sejak lebih dua bulan lalu.
“Penduduk masih lagi ingat bagaimana beberapa projek `ajaib’ berlaku di negeri ini seperti aktiviti penerokaan Bukit Relau atau Bukit Botak beberapa tahun lalu yang tidak mendapat kelulusan kerajaan negeri.
“Tetapi akhirnya, pemaju projek itu hanya dikenakan denda yang rendah sedangkan kesan kemusnahan alam sekitarnya kekal sehingga ke hari ini dan kita tidak mahu perkara sama berulang dalam kejadian korek pasir ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, sekumpulan nelayan di Jelutong di sini mendedahkan mengenai aktiviti pengorekan pasir di perairan di situ yang tidak diketahui statusnya sama ada berjalan secara sah atau sebaliknya.
Aktiviti itu menyebabkan mata pencarian mereka merosot lebih 50 peratus ekoran pencemaran lumpur dan kelodak selain memusnahkan kawasan laut yang kini menjadi kotor.
Tambah Rahmad, kerajaan negeri juga tidak boleh lepas tangan kerana isu itu memberi gambaran mengenai kelemahan penguatkuasaan jabatan tertentu yang gagal menghidu kegiatan tersebut meskipun dilakukan tidak jauh dari daratan negeri ini. – UTUSAN ONLINE











