JASIN – Polis menahan Pengerusi Majlis Rantaian Ilmu Negeri Melaka selepas dipercayai terlibat dalam kes penipuan wang kemenangan pertandingan memancing yang dianjurkan di Pantai Siring, Jasin di sini semalam.
Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di lokasi pertandingan selepas enam peserta membuat laporan polis berhubung kegagalan pihak penganjur membayar wang hadiah yang dijanjikan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, berdasarkan rakaman percakapan yang dilakukan, individu terbabit telah merancang pertandingan tersebut bagi mendapatkan dana untuk persatuannya.
“Suspek telah menetapkan bahawa satu batang joran untuk menyertai pertandingan dikenakan bayaran RM100 dan hadiah tempat pertama berupa ganjaran bernilai RM20,000 dan berperingkat sehingga tempat ke 50 dengan jumlah keseluruhan RM41,500.
“Berdasarkan siasatan awal, pihaknya telah mengumpul bayaran untuk 310 penyertaan yang mana jumlah tersebut adalah mencukupi untuk hadiah dijanjikan, namun pelbagai alasan diberikan atas kegagalan menyediakan wang kemenangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Arshad berkata, suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE











