LONDON – Seorang warga emas terkejut apabila mendapati seekor tikus kecil bertanggungjawab mengemas bangsal di kebunnya setiap malam sejak sebulan lalu.
Stephen Mckears, 72, yang tinggal di Pantai Severn di Gloucester Selatan, England telah memasang kamera dalam bangsal itu selepas terkejut melihat nat dan bolt yang bertaburan telah dikumpulkan ke dalam satu bekas.
Mckears dan jirannya Rodney Holbrook, 70, kebingungan apabila rakaman itu menunjukkan seekor tikus comel sedang mengemas barang yang bertaburan dalam bangsal itu pada pukul 2.30 pagi, malah cuba mengangkat sebuah objek yang dua kali ganda lebih besar daripada badannya.
“Saya hampir gila memikirkannya sebelum ini, anak-anak pula menganggap hantu yang mengalihkan barang-barang tersebut. Barang paling besar tikus itu angkat adalah penyambung plastik pada hujung paip getah dan rantai dari mesin gerudi elektrik,” kata Mckears.
Warga emas itu mendedahkan, tikus itu mengemas selama kira-kira 2 jam pada malam aksi haiwan kecil itu dirakam dan mengulangi perbuatannya setiap malam selama hampir sebulan.
“Tikus itu masih melakukannya sehingga ke hari ini, mungkin dia berhenti untuk tidur selepas penat mengemas setiap malam,” tambahnya. Mckears memberi gelaran ‘Tikus Brexit’ kepada haiwan kecil itu sementara Holbrook menamakannya ‘Metal Mickey’. – Agensi











