KUALA SELANGOR – Kegiatan tiga sekawan mengedar dadah sejak setahun lalu berakhir selepas kesemuanya ditahan dalam dua serbuan berasingan di daerah ini, Selasa lalu.
Dalam serbuan bermula pukul 7 malam itu, kesemua suspek yang diberkas berusia 21 hingga 34 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Noor Janihan Nanyan berkata, tangkapan itu hasil risikan pihaknya terhadap penglibatan tiga sekawan berkenaan dalam pengedaran dadah dengan menjadikan sebuah rumah sebagai markas pembungkusan dadah.
Katanya, serbuan itu dilakukan di Taman Cahaya dan Taman Sinaran di Bestari Jaya dekat sini.
“Kita berjaya merampas sebanyak 1.05 kilogram heroin dan 256.1 gram ganja bernilai RM30,000 selain sebuah kereta jenis Proton Wira daripada tiga suspek tersebut.
“Siasatan awal mendapati dadah itu dipercayai diperoleh daripada sindiket dadah di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, ini merupakan kejayaan terbesar rampasan dadah di daerah ini bagi tahun ini.
Ujar Noor Janihan, hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis heroin dan methamphetamine.
“Kesemua suspek ini direman tujuh hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – K! ONLINE











