KUALA LUMPUR 30 Mac- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran pegawai kanan serta kenaikan pangkat berkuat kuasa pada 29 April depan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad berkata, pertukaran itu melibatkan Ketua Polis Daerah Tawau, Sabah, Asisten Komisioner Fadil Marsus.
Menurutnya, Fadil akan menjawat jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah (D7C) Antipemerdagangan Orang/ Penyeludupan Migran, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
“Pertukaran jawatan juga membabitkan Timbalan Ketua Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Jabatan Perdana Menteri iaitu Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim yang akan memegang jawatan sebagai Timbalan Komander Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ulu Kinta, Perak.
“Sementara itu, Asisten Superintenden (D7B) Pengawasan Jabatan Siasatan Jenayah, Perak iaitu Deputi Superintenden Zulkepli Ibrahim akan bertukar sebagai Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Perak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE











