SEPANG – Polis memberitahu tiada penglibatan orang ketiga dalam kejadian yang menimpa dua mangsa maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres setingkat di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada 28 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada pihak forensik dan juga kimia untuk mengaitkan individu lain berdasarkan bukti fizikal yang ada.
“Laporan forensik dan kimia adalah untuk membuat analisis terhadap bukti-bukti fizikal yang ada seperti pecah rumah untuk pihak polis mensabitkan dengan individu lain.
“Tetapi menerusi penyiasatan forensik, memang tiada penglibatan daripada pihak ketiga namun kita tidak menolak jika ada sebarang kebarangkalian penglibatan (orang ketiga),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya juga sudah merakam keterangan daripada ahli keluarga dan jiran bagi mengesan pembunuh dalam kes berkenaan.
Pada 28 Januari lalu, Kosmo! Online melaporkan dua penjawat awam maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres setingkat di Taman Desa Vista, Sepang.
Mangsa kebakaran yang berlaku pada kira-kira jam 1 tengah hari itu dikenali sebagai Wan Mohd. Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dan Norwahidah Abdul Hamid, 28, kedua-duanya penjawat awam yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.
Sehari kemudian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh berikutan laporan proses bedah siasat menemui kesan kecederaan akibat akibat hentakan benda keras di kepala mangsa wanita. – K! ONLINE











