BACHOK 13 Mac – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kelantan mengaktifkan tiga daripada 13 telaga tiub di negeri ini bagi menyalurkan air ke kawasan tanah gambut yang terbakar di Bachok.
Pengarah JMG negeri, Che Abdul Rahman Jaafar berkata, operasi mengepam air dari telaga tiub bermula sejak Februari lepas itu bagi menaikkan paras air bawah tanah gambut dan menyalurkan air untuk operasi pemadaman kebakaran gambut di Beris Lalang, Kampung Kual, Kampung Baru Hujung Lidah dan Kampung Beoh.
Katanya, kebakaran bermula 10 Feberuari lalu sehingga kini membabitkan kawasan seluas 25 hektar tanah getah dan ladang kelapa sawit di Bachok.
Bachok mempunyai 6,000 hektar kawasan tanah gambut manakala di Pasir Mas 1,300 hektar (tiada telaga tiub diaktifkan di Pasir Mas kerana tiada kebakaran tanah gambut di sana).
Bernama yang meninjau kawasan kebakaran tanah gambut di Bachok bersama Che Abdul Rahman difahamkan kebakaran kawasan tanah gambut perlu ditangani dengan teliti termasuk memastikan bara di tanah gambut sedalam lebih satu meter betul-betul padam.
“Bara tersebut boleh menyala dan membentuk api fizikal pada bila-bila masa menyebabkan kebakaran merebak ke kawasan baru,” katanya, sambil menambah, sebelum tahun 2010, usaha memadam kebakaran di kawasan tanah gambut oleh pihak bomba memakan masa yang lama disebabkan sumber air terhad manakala kawasan kebakaran luas. – BERNAMA










