KUALA TERENGGANU 10 Mac – Keadaan Muhammad Syukur Khamis, 14, semakin baik pagi ini apabila dia tidak lagi mengadu sakit kepala sebagaimana semalam.
Abangnya, Muhammad Shawal berkata, adik bongsunya juga tidur lena sepanjang bermalam di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dengan ketika ini sedang menunggu pemeriksaan kali ketiga daripada doktor pakar.
Katanya, adiknya berkemungkinan boleh pulang ke rumah hari ini jika tiada sebarang masalah pada tahap kesihatan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu.
“Alhamdulillah semua okay, adik sudah bangun, mandi dan makan ubat.
“Sakit kepalanya pun dah hilang dan nampak lebih segar pagi ini,” katanya ketika ditanya mengenai keadaan adiknya di sini pagi ini.
Muhammad Syukur yang terkenal dengan jolokan Syukur Kampung Boy dimasukkan ke wad HSNZ kira-kira pukul 11.30 malam tadi selepas menjalani rawatan awal di Unit Kecemasan pada pukul 9 malam.
Dia dikejarkan ke HSNZ selepas terjatuh dari kerbau ternakan bapanya sejurus selesai menjalani sesi fotografi pada pukul 8 pagi semalam.
Sementara itu, jurugambar Abdullah Deen Mohd. Zain atau lebih dikenali sebagai Dallah Deen berkata, ketika kejadian dia berada di kandang bersama Muhammad Syukur namun, tidak perasan bagaimana pelajar tersebut boleh tergelincir.
“Rutin harian Syukur memang dengan aktiviti di kandang kerbau dan semalam ada jurugambar datang untuk rakam gambarnya.
“Semasa bermain-main dengan kerbau, tiba-tiba tengok dia sudah jatuh ke tanah, jadi saya cepat-cepat angkat bawa ke hospital. Ketika itu tidak nampak ada kesan yang teruk dan tak sangka pula terpaksa ditahan di wad,” katanya. – UTUSAN ONLINE











