Susu tepung 'dikitar semula' guna logo halal tidak sah dirampas  - Utusan Malaysia

Susu tepung ‘dikitar semula’ guna logo halal tidak sah dirampas 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Taktik jahat sebuah syarikat di daerah ini menjual susu tepung tanpa persijilan halal yang sah sejak dua tahun lalu terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa, Khamis lalu.

Dalam serbuan pukul 3.30 petang itu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor turut merampas 5 tan susu tepung bernilai RM74, 200.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Azman Adam berkata, susu tepung tersebut pada mulanya diimport dari New Zealand dengan kuantiti 25 kilogram (kg) bagi sebungkus.

Katanya, susu itu juga mendapat pengiktirafan halal dari sebuah agensi di Jerman yang diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Bagaimanapun, syarikat itu telah bertindak membungkus semula susu tepung itu kepada pek 1 kg dan 500 gram (g) dengan menggunakan jenama sendiri dan sewenang-wenangnya meletakkan logo halal Jakim pada pek tersebut.

“Justeru, tahap halal produk itu diragui kerana gagal mengikut prosedur Jakim dari segi peralatan atau barangan lain yang diletakkan bersama dalam pek yang dibungkus semula syarikat itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, sampel susu tepung itu telah dihantar ke Jabatan Kimia dan Jakim untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, pemeriksaan terhadap pembungkusan susu itu juga didapati menggunakan alat timbang yang diragui penentusahannya selain tidak meletakkan harga runcit bagi setiap pek yang dijual untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Siasatan awal mendapati bagi satu pek seberat 1 kg dijual pada harga RM15 manakala 500g bernilai RM8.

“Hasil semakan juga menunjukkan syarikat terbabit sah berdaftar dan telah beroperasi sejak lapan tahun lalu dengan memasarkan produk susu suhu ultra tinggi (UHT),” katanya.

Jelas Azman, kes disiasat mengikut Perenggan 5(1) dan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.  – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN