Sungai Kim Kim sudah 1 km dibersihkan - Utusan Malaysia

Sungai Kim Kim sudah 1 km dibersihkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG 16 Mac – Sepanjang satu kilometer Sungai Kim Kim, dekat sini yang dicemari bahan toksik, minggu lalu sudah dibersihkan oleh kontraktor yang dilantik kerajaan negeri.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, sehingga tengah malam tadi, kerja-kerja pembersihan sungai yang dilakukan 24 jam sehari berjalan lebih pantas daripada yang dijadualkan.

Katanya, baki 500 meter Sungai Kim Kim ini dapat dibersihkan dalam masa dua hari lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehingga tengah malam tadi, kerja-kerja membersihkan Sungai Kim Kim sudah menjangkau satu kilometer.

“Bahagian sungai paling tercemar yang dikenal pasti sejak awal juga sudah dibersihkan. Kita jangka dalam masa dua hari ini kerja pembersihan dapat diselesaikan sepenuhnya jika cuaca berada dalam keadaan baik “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat rawatan awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini sebentar tadi.

Hari ini akhbar melaporkan kawasan seluas 680 meter daripada 1.5 kilometer kawasan tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihkan sehingga jam 4 petang.

Kerja pembersihan berkenaan dilakukan 24 jam oleh tiga kontraktor dilantik melibatkan 90 pekerja bermula Rabu lalu.

Dalam pada itu, Bee Yin berkata, hasil lawatan ke pusat rawatan awal itu mendapati jumlah pesakit yang hadir bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan semakin berkurangan berbanding semalam dan hari sebelumnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini