Subsidi petrol bersasar Julai ini - Utusan Malaysia

Subsidi petrol bersasar Julai ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Mac – Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangka pelaksana­an sistem kad khas dalam me­nyalurkan subsidi petrol secara bersasar akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Jun atau Julai ini berbanding sasaran awal suku kedua 2019.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sedikit masa masih diperlukan untuk mengenal pasti vendor bagi menyediakan sistem yang memerlukan Kementerian Kewangan (MoF) menyediakan Permintaan Untuk Cadangan (RFP).

Katanya, apabila MOF sudah memuktamadkan vendor, mereka kemudiannya akan memaklumkan kepada KPDNHEP, sete­rusnya kedua-dua kementerian akan bersama-sama mengemas kini beberapa perkara berkaitan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini kerana kami mahu memastikan program ini berjalan dengan licin dan lancar. Komponen terpenting lain adalah senarai penerima subsidi bersasar ini perlu betul-betul bersih, yang patut dapat perlu ada dan yang tidak sepatutnya, jangan ada langsung di dalam senarai.

“Senarai penerima sedang disediakan melibatkan 17 agensi, bukan sahaja Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pendaftaran, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) malah banyak lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan kerjasama di antara Petronas Dagangan Bhd. (PDB) de­ngan Loob Holding Sdn. Bhd. dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob, Bryan Loo.

Mengulas tentang kerjasama itu, Loo berkata, kira-kira 300 kedai francais Tealive akan dibuka di Kedai Mesra dalam tempoh tiga tahun dan empat cawangan sudah dibuka.

“Kerjasama itu turut menyediakan platform kepada para pelajar dan graduan daripada bidang berkaitan dalam mempelajari pengurusan kedai Tealive selain turut mewujudkan peluang pekerjaan.

“Pada masa akan datang, kami merancang untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) menjelang 2020 susulan strategi peluasan kumpulan yang memerlukan sokongan kewangan yang padu. Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini