Subsidi bersasar petrol Julai ini - Utusan Malaysia

Subsidi bersasar petrol Julai ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yakin pelaksanaan sistem kad khas bagi me­nyalurkan subsidi petrol secara bersasar dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya Jun atau Julai depan berbanding suku kedua 2019 yang disasarkan sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kementerian Kewangan (MoF) ketika ini sedang mengenal pasti vendor yang merupakan komponen utama dalam penyediaan sistem itu sebelum Permintaan Untuk Cadangan (RFP) dikeluarkan.

Katanya, selepas pemilihan vendor dimuktamadkan, MoF akan memaklumkan semula kepada KPDNHEP sebelum perbincangan selanjutnya dibuat bagi mengemaskini beberapa perkara berkaitan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan perlukan sedikit masa sebelum memuktamadkan meka­nisme yang dicadangkan kerana ia melibatkan sebanyak 17 agensi berkaitan, tidak Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Pengangkutan Jalan sahaja sebaliknya ba­nyak lagi.

“Kami juga perlu lakukan criss-cross bagi memastikan hanya yang layak menerima subsidi jadi amat penting untuk memperoleh senarai penerima yang betul-betul bersih. Ia bagi memastikan program ini akan berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Kerjasama Strategik Loob Holding Sdn. Bhd. (Loob), Pe­tronas Dagangan Bhd. (PDB) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk mengembangkan kedai Tealive di Kedai Mesra Petronas di pusat beli-belah Mid Valley di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Loob, Bryan Loo; Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin dan Timbalan Naib Canselor (Industri, Komuniti, Alumni dan Rangkaian Keusahawanan) UiTM, Prof. Dr. Rahmat Mohamad.

Baru-baru ini, Menteri Kewa­ngan, Lim Guan Eng mengumumkan had maksimum harga runcit petrol RON95 yang sebelum ini ditetapkan pada paras RM2.20 seliter, dikurangkan kepada RM2.08 seliter.

Katanya, had harga minyak itu akan dibatalkan apabila subsidi minyak bersasar dilaksanakan pada pertengahan tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini