DORTMUND, Jerman 6 Mac – Tottenham terselamat daripada serangan bertali arus yang dilancarkan Borussia Dortmund sebelum mara ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2011, hari ini.
Biarpun banyak bertahan sepanjang perlawanan di Signal Iduna Park, namun jaringan Harry Kane pada minit ke-48 sudah cukup untuk membawa kelab London itu meneruskan kemaraan secara agregat 4-0.
Pengendali Spurs, Mauricio Pochettino menghambur pujian dengan semangat juang dan disiplin tinggi yang dipamerkan anak-anak buahnya biarpun beraksi di depan penyokong lawan.
“Kami agak bergelut pada babak pertama, namun yang penting adalah menang dan mara ke suku akhir.
“Ini adalah kejayaan besar buat pasukan, perlawanan yang amat sukar dan saya bangga dengan pasukan kami,” kata Pochettino kepada BT Sport. – AGENSI










