KUALA LUMPUR 30 Mac – Kunjungan 40 orang Skuad Prihatin Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), semalam memberi kegembiraan kepada lebih 35 anak-anak Rumah Kebajikan Baitul Hidayah di Batu 13, Puchong dekat sini.
Lawatan itu merupakan program sulung sejak penubuhan skuad yang diwujudkan selari dengan visi Kerajaan Negeri Selangor ke arah Bandar Mesra Wanita Pertama di negara ini oleh MPSJ.
MPSJ dalam kenyataan di sini hari ini berkata, program itu bertujuan memberi peluang kepada semua ahli skuad beramah mesra dan mengenali dengan lebih dekat anak-anak di rumah kebajikan itu.
“Pelbagai aktiviti dijalankan sebagai pengisian program antaranya demonstrasi membuat kek cawan, menggembur tanah dan mengisi baja, membersihkan kawasan dan menyusun barang.
“Skuad prihatin turut membantu membaik pulih dua kabin di rumah tersebut yang akan digunakan untuk tujuan pembelajaran kelas mengaji dan tuisyen,’’ katanya.
Menurut kenyataan itu, Yang Dipertua MPSJ yang juga Penaung Puspanita, Noraini Roslan turut mewakili persatuan menyampaikan sumbangan berjumlah RM4,045 kepada rumah kebajikan tersebut.
“Semoga usaha murni ini dapat diteruskan dengan merancang pelbagai aktiviti pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











