Skuad memanah wanita rangkul pingat emas di Bangkok - Utusan Malaysia

Skuad memanah wanita rangkul pingat emas di Bangkok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SKUAD memanah wanita negara tampil garang pada peringkat pertama Kejohanan Memanah Piala Asia 2019 apabila merangkul satu emas dan satu perak pada aksi final ‘compound’ berpasukan wanita serta individu di Bangkok, Thailand semalam.

Pasukan negara yang diwakili Nur Aina Yasmine Halim, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Nurul Syazhera Mohd. Asmi membawa pulang kilauan emas selepas menewaskan India pada aksi final berpasukan wanita menerusi keputusan 230-226.

Bagaimanapun, kejayaan tersebut gagal diteruskan pemanah negara, Fatin Nurfatehah yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara individu selepas tewas tipis kepada pemanah India, Muskan Kirar dengan keputusan 142-147.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya bersyukur kerana kami merangkul satu emas dan satu perak untuk kejohanan sulung di peringkat antarabangsa tahun ini. Walaupun cuaca agak panas, kami masih boleh memberi fokus untuk menuai emas dalam cara berpasukan.

“Bagi acara individu, saya tetap berpuas hati kerana lawan saya memang kuat. Saya sudah cuba memberi yang terbaik namun nasib tidak menyebelahi saya untuk meraih emas. Secara keseluruhan, saya bangga dengan pencapaian kami walaupun dibarisi muka-muka baharu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, pada saingan compound individu lelaki, tiada wakil negara berjaya melayakkan diri ke final setelah tewas kepada lawan masing-masing di pusingan awal dan suku akhir.

Kem negara turut gagal meraih sebarang pingat bagi acara compound berpasukan lelaki dan campuran selepas masing-masing tumpas kepada Kazakhstan serta India pada aksi penentuan tempat ketiga dan empat.

Sebelum ini Fatin mengakui dia tampil pada kejohanan tersebut tanpa meletakkan sasaran tinggi memandangkan ia ialah kejohanan antarabangsa pertamanya tahun ini.

“Saya tidak tertekan kerana bagi saya ia adalah pentas untuk melihat sejauh mana kemampuan saya. Malah, kejohanan ini juga adalah pentas untuk saya menilai keserasian bersama pemanah-pemanah lain dalam acara berpasukan,” ujarnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini