JOHOR BAHRU 18 Mac – Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mengambil serius laporan dan aduan bahawa terdapat beberapa lagi kes disyaki kesan pembuangan sisa toksik di kawasan Masai.
Beliau sudah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar Johor (JAS) untuk menyiasat laporan tersebut dengan segera.
“Saya juga telah mengarahkan pasukan dan agensi keselamatan seperti bomba dan penyelamat serta polis untuk menutup kawasan tersebut.

“Sehingga laporan yang lengkap diperolehi daripada JAS, kawasan tersebut hendaklah ditutup sepenuhnya sehingga kerja-kerja pembersihan, kawalan dan penyiasatan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Petang tadi beberapa lagi tong dipercayai berisi sisa buangan bahan kimia ditemui dalam semak dekat Taman Tanjung Puteri Resort di sini.
Kesemua tujuh buah tong berwarna biru itu dikatakan telah ditemukan penduduk kawasan tersebut sejak 14 Mac lalu.
Menurut Osman, jika benar pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembuangan haram, tindakan tegas akan diambil.

“Saya tidak akan membiarkan bencana kimia ini berulang kerana nyawa dan keselamatan rakyat menjadi pertaruhan,” ujarnya.
Beliau menyeru kepada semua rakyat untuk menjauhi kawasan tersebut dan mematuhi peraturan keselamatan yang disediakan. – UTUSAN ONLINE











