‘Siapa nak tolong kami’ - Utusan Malaysia

‘Siapa nak tolong kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Mac – Pada ketika nasib pemain bola sepak Perlis masih tidak ter­bela ekoran isu tunggakan gaji yang belum ­selesai, pendedahan skuad futsal yang dihimpit masalah serupa memburukkan lagi keadaan.

Hari ini, pengendali futsal Perlis, Qusmaini Noor Rusli mendedahkan, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) masih gagal melangsaikan tunggakan gaji 25 pemain dan tujuh jurulatih selama dua bulan yang secara ke­seluruhan bernilai RM194,800.

“Hampir memasuki bulan ketiga namun kami belum menerima apa-apa bayaran. Selain pasukan bola sepak Perlis, skuad futsal juga menerima impak sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Anggaran ke­seluruhan bayaran bagi satu bulan untuk gaji pemain adalah RM70,900 manakala

 

keseluruhan gaji pegawai pasukan adalah RM26,500.

“Kami ada cuba menghubungi pengurusan namun tiada maklum balas.

“Lebih merumitkan keadaan, hari ini tarikh tutup pendaftaran Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) dan status kami masih tergantung.

“Bila jadi macam ini, kami hilang sumber pendapatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Qusmaini berkata lagi, majoriti pasukan yang bertanding dalam MPFL sudah mempunyai pemain masing-masing dan itu menimbulkan masalah kepada mereka untuk mencari pasukan baharu.

“Kalau pasukan bola sepak Perlis, pemain diberi masa tambahan untuk mencari pasukan. Kami pula tidak tahu bagaimana.

“Saya harap mungkin ada pertimbangan dalam hal ini kerana kami ada tujuh pemain kebangsaan.

“Mereka semua mewakili negara dalam dalam kejohanan Futsal AFF 2018 di Yogjakarta dan mendapat No. 2,” katanya lagi.

Sementara itu, kapten futsal Perlis, Qaiser Heshaam Abdul Kadir amat sedih dengan nasib yang menimpanya dan rakan sepasukan malah mereka berasa tertipu setelah diberi janji manis.

“Kontrak sudah tandatangan dan kami pun telah berlatih dua bulan tetapi tiada hasil. Saya kecewa. Ketiadaan pasukan, tidak tahu mahu pergi mana.

“Jika tiada pasukan macam mana nak dapat panggilan kebangsaan. Dengan apa yang berlaku ini, saya sudah tidak boleh nak patah balik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini