Sewa PPR: Pemilik diberi amaran keras - Utusan Malaysia

Sewa PPR: Pemilik diberi amaran keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi amaran keras kepada pemilik Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menyewakan unit kediaman mereka kepada pihak lain.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT telah memberi amaran dan tindakan tegas akan diambil dalam menangani penyalahgunaan PPR iaitu penyewaan atau penjualan tidak sah dalam masa terdekat.

Jelasnya, pihak kementerian turut akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang mengiklankan penjualan atau penyewaan PPR melalui hebahan umum termasuk melalui portal sewa beli hartanah atau melalui media sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Syarat penyewaan dalam kontrak perjanjian penyewaan rumah PPR telah tertera klausa yang menetapkan bahawa penyewa tidak dibenarkan memberi sewa atau melepaskan pemilikan rumah kepada orang lain, samada secara penuh untuk keseluruhan kediaman atau sebahagian dari kediaman untuk sewaan bilik.

“Satu notis penamatan daripada Kerajaan Negeri atau pihak berkuasa tempatan akan diberikan kepada pihak yang telah melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan dan dipersetujui ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zuraida, dalam perjanjian penjualan rumah PPR pula terdapat syarat yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Jual Beli dan Surat Akuan Bersumpah bahawa setiap unit PPR yang dibeli adalah untuk diduduki oleh pembeli dan tidak akan disewakan kepada orang lain.

Jelasnya, mereka yang melanggar syarat ditetapkan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda oleh mahkamah mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 jika sabit kesalahan.

Tambah Zuraida, maklumat sah mengenai penyewaan dan pembelian unit kediaman PPR hanya akan dipaparkan di laman web rasmi Jabatan Perumahan Negara KPKT iaitu http://ehome.kpkt.gov.my. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini